WASHINGTON – Hampir 280,000 kanak-kanak usia persekolahan di Amerika Syarikat (AS) dijangkiti virus Covid-19 antara 1 Mac hingga 19 September lalu, demikian menurut data disiarkan kelmarin menerusi laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Angka itu merangkumi empat peratus daripada kes keseluruhan Covid-19 di AS ketika ini, manakala kanak-kanak berusia 12 tahun hingga 17 tahun adalah dua kali ganda lebih berisiko dijangkiti koronavirus berbanding kanak-kanak berumur 5 tahun hingga 11 tahun.
Kadar kes baharu meningkat beransur-ansur semasa musim bunga sebelum melonjak pada musim panas tahun ini.
Bilangan kes baharu koronavirus di AS kekal di paras tertinggi selama beberapa minggu pada musim panas sebelum menurun akhir bulan lalu, namun, meningkat semula ke arah angka pada musim panas lalu.
“Kajian di sekolah-sekolah membayangkan pembelajaran di kelas secara konvensional selamat dalam komuniti yang mempunyai kadar jangkitan Covid-19 rendah tetapi berisiko meningkatkan penularan sekiranya jangkitan dalam komuniti tersebut sedia tinggi,” kata mereka.
Menurut laporan CDC, komuniti kulit hitam dan Latin adalah lebih berisiko mendapat jangkitan Covid-19 lebih serius, begitu juga kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan sedia ada.
Secara keseluruhan, seramai 277,285 pelajar AS dijangkiti koronavirus dengan 3,240 atau 1.2 peratus dirawat di hospital dan 404 orang dimasukkan ke unit rawatan rapi manakala 51 murid meninggal dunia. – AFP