fbpx

JIM tumpas sindiket tukang urut warga Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sindiket menggunakan Pas Lawatan Sosial bagi membawa masuk wanita warga Thailand untuk bekerja sebagai tukang urut di sekitar Johor

PUTRAJAYA- Taktik sebuah sindiket mengatur kemasukan warga Thailand untuk bekerja di pusat-pusat urut sekitar Johor dan negeri berhampiran menggunakan Pas Lawatan Sosial terbongkar apabila seramai 28 individu ditahan Jabatan Imigresen (JIM) baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, penangkapan tukang urut warga Thailand itu dibuat menerusi operasi khas dijalankan bermula 21 hingga 23 Julai lalu di sekitar Johor Bharu.

“Dalam operasi pada 21 Julai 2022, pasukan operasi JIM berjaya mengesan sebuah kenderaan jenis Proton Saga dipandu dalang utama di Taman Pelangi, Johor. Hasil pemeriksaan mendapati empat orang wanita Thailand berada didalam bersama dalang sindiket.

“Kesemua wanita itu tidak memliliki pas sah semasa diperiksa dan mereka dipercayai dalam perjalanan untuk dihantar pulang ke Thailand melalui jalan tidak sah. Kesemua mereka ditahan bersama dalang sindiket,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, JIM turut menyerbu rumah kediaman dalang utama selain berjaya merampas beberapa dokumen berkaitan aktiviti sindiket membawa masuk tukang urut asing ke pusat urut refleksologi serta spa di Johor Bahru dan sekitar kawasan selatan tanah air.

“Rentetan daripada operasi itu, pasukan operasi JIM telah membuat dua lagi serbuan di premis pusat urut di Taman Austin dan Taman Abad di Johor Bahru yang disyaki ada kaitan dengan sindiket ini.

“Hasil serbuan di kedua-dua premis, JIM berjaya menahan seramai 18 wanita dan tiga lelaki warga Thailand yang bekerja sebagai tukang urut. Turut ditahan dua orang lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis. Kesemua mereka berumur antara 20 hingga 52 tahun,” jelasnya.

Mengulas mengenai modus operandi, Khairul Dzaimee berkata, sindiket mengunakan kenalan rapat berada di Thailand untuk mempengaruhi lelaki dan wanita asing dengan menawarkan peluang pekerjaan sebagai tukang urut di Malaysia.

“Risikan mendapati terdapat aktiviti tidak bermoral turut dijalankan oleh sindiket disebalik perkhidmatan tukang urut selain menjalankan aktiviti menghantar pulang mana-mana warga asing yang bermasalah atau warga tempatan yang ingin melepasi sempadan melalui laluan tidak sah.

“Sindiket mengenakan bayaran antara RM1300 hingga RM1500 bagi setiap tukang urut yang diuruskan dan dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga RM30,000 sebulan,” jelasnya.

Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika Johor Bahru untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI