fbpx

Konvoi bom nuklear dirakam di Britain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Konvoi tersebut dirakam di M74 arah utara, kira-kira 48 kilometer dari Glasgow. – Twitter Nuke Watch

LONDON – Sebuah konvoi bom tentera Britain yang dipercayai membawa empat peledak nuklear  dirakam bergerak di jalan raya dari Berkshire ke Scotland, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Deretan kenderaan tersebut dirakam di jalan utama M74 arah utara, kira-kira 48 kilometer dari Glasgow dan dikongsikan secara online.

“Satu lagi konvoi membawa bom dilihat melakukan perjalanan selama dua hari dari Aldermaston/Burghfield ke Coulport di Loch Long. Setiap lori mungkin membawa dua peledak nuklear,” demikian komen dalam akaun Twitter bernama Nuke Watch.

Organisasi Nuke Watch berkata, pihaknya menyiarkan komen itu kerana percaya masyarakat setempat yang berisiko terkesan,  perlu diberitahu mengenai kewujudan dan risiko ditimbulkan oleh konvoi berkenaan.

Konvoi  yang turut diiringi van polis  itu dipercayai telah menamatkan perjalanannya sebelum gambar tersebut dikongsikan kepada netizen.

Situasi itu  mewujudkan kebimbangan kepada sebilangan pengguna Twitter.

“Saya berpendapat mereka perlu mengambil lebih banyak langkah perlindungan berbanding hanya menempatkan sebuah van polis,” kata seorang pengguna Twitter. Namun, dia diberitahu oleh Nuke Watch bahawa terdapat kenderaan pengiring lain, namun tiada dalam skop rakaman tersebut.

Menurut laporan sama,  pengangkutan kepala peledak nuklear di Britain bukan  sesuatu luar biasa.

Namun Nuke Watch berkata, sekiranya kargo tersebut meletup, ia akan melepaskan zarah-zarah yang boleh menyebabkan kanser.

“Dalam satu kemalangan serius, radius sekitar 548 meter akan terjejas dengan letupan dan serpihan bahan letupan.

“Apa yang lebih berbahaya adalah letupan tersebut boleh memberi kesan dengan menyebarkan zarah radioaktif dalam lingkungan  beberapa kilometer.

“Zarah radioaktif  yang dibebaskan oleh plutonium tidak memberi risiko serius jika kekal di luar badan, namun sekiranya partikel itu ditelan atau dihidu, ia boleh menyebabkan kanser,” kata organisasi tersebut. – Agensi  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI