Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Ketua Badan Pimpinan Bersatu (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri di sini sebentar tadi.
Hajiji, 65, mengangkat sumpah jawatan itu pada pukul 10.37 pagi di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Upacara angkat sumpah turut dihadiri isteri Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Turut mengangkat sumpah ialah tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Presiden Solidariti Tanah Air (Star), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Naib Presiden PBS, Datuk Dr. Joachim Gunsalam.
Dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengangkat sumpah hari ini ialah dua menteri kanan iaitu Datuk Seri Masidi Manjun ( Menteri Kerja Raya Sabah) dan Datuk Jahid Jahim sebagai (Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah).
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada PN, BN dan PBS berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi 38 dari 73 kerusi yang dipertandingkan. K!ONLINE