KUALA LUMPUR – Pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan diberikan semula kepada pelajar mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama.
Perkara itu diumumkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa Majlis Sambutan Jubli Perak 25 tahun PTPTN di sini hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Menurut Ismail Sabri, pemberian itu tanpa mengira status ekonomi, bangsa serta agama dan akan diberikan kepada pelajar yang yang menamatkan pengajian bermula tahun 2019.
“Ini sebagai dorongan kepada anak-anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka.
“Saya berharap PTPTN dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan perkara ini dari segi peruntukan yang terlibat,”katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata sehingga kini, seramai 3.67 juta Keluarga Malaysia telah dibantu bagi meneruskan pengajian dengan keseluruhan pinjaman berjumlah RM66.87 bilion .
Jelas beliau, sehingga akhir bulan lepas, lebih 2 juta atau 82.04 peratus peminjam telah membayar balik pinjaman dengan jumlah kutipan sebanyak RM 17.8 bilion.
“Terima kasih saya ucapkan kepada para peminjam yang komited membuat bayaran balik.
“Bagi yang belum berbuat demikian, saya menasihatkan supaya melunaskan pinjaman agar proses pinjaman kepada peminjam lain seterusnya tidak tertangguh,” ujarnya.
Ismail Sabri menambah, kerajaan melalui PTPTN telah menyediakan peruntukan lebih RM3 bilion setahun bagi membiayai pinjaman pendidikan kepada purata lebih 180,000 pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi. – KOSMO! ONLINE.