fbpx

Emma Raducanu perlukan bimbingan Maria Sharapova

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RADUCANU berdepan krisis prestasi yang teruk apabila gagal meraih kejuaraan selepas memenangi Terbuka AS tahun lalu. – AFP

LONDON – Bekas juara Wimbledon, Marion Bartoli memberi cadangan agar pemain tenis sensasi Britain, Emma Raducanu mendapatkan khidmat nasihat daripada bekas bintang No.1 dunia, Maria Sharapova mengenai cara untuk menyerap tekanan.

Sebagai rekod, Raducanu yang mencipta sensasi tersendiri dengan menjulang trofi Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun lalu pada usia 19 tahun kini bergelut dengan masalah prestasi selepas merekodkan beberapa siri keputusan negatif sejak awal musim ini.

Situasi yang sama pernah me­landa Sharapova selepas menjuarai Kejuaraan Wimbledon pada usia 17 tahun, tetapi berjaya mempamerkan kebangkitan dalam karier untuk menambah empat lagi trofi bertaraf Grand Slam.

Kata Bartoli, kedua-dua atlet ini memiliki persamaan dan perjalanan karier yang hampir sama memandangkan Raducanu serta Sharapova telah menerima ba­nyak tajaan serta menandatangani kontrak dengan syarikat fesyen bernilai jutaan ringgit.

“Raducanu masih lagi muda dan apa yang dia lalui ketika ini pernah dialami oleh Sharapova dan buat masa ini, saya percaya dia sedang dilanda tekanan kerana telah menandatangani banyak kontrak tajaan bernilai jutaan ringgit sejak tahun lalu.

“Justeru, saya harap dia cuba untuk menghubungi Sharapova pada masa akan datang untuk meminta nasihat bagaimana untuk menyerap tekanan kerana perjalanan mereka berdua hampir sama selain memiliki rupa paras yang cukup jelita.

“Malah, saya difahamkan Ra­ducanu dan Sharapova berkongsi ejen peribadi yang sama dan mungkin situasi tersebut boleh memudahkan untuk mereka dipertemukan.

“Sharapova telah dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman dan saya percaya Raducanu turut memiliki potensi ke arah itu jika dia kekal fokus di atas gelanggang,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN