LAS VEGAS – Petinju sensasi Amerika Syarikat (AS), Floyd Mayweather hampir pasti keluar daripada pesaraan selepas dilaporkan bersetuju untuk bertarung secara profesional dengan jaguh seni bela diri Republik Ireland, Conor McGregor.
Mayweather sebelum ini mengumumkan persaraan selepas menewaskan McGregor pada 2017 dengan rekod tanpa kalah dalam 50 pertarungan yang diharungi sepanjang karier profesional.
Namun, petinju berusia 45 tahun itu kekal aktif di atas gelanggang dengan menerima pelawaan pada pertarungan pertunjukan menentang beberapa bintang meningkat naik seperti Tenshin Nasukawa, Logan Paul dan Don Moore.
Kini, Mayweather sudah bersedia untuk kembali selepas mendapatkan dana lumayan dan bersedia untuk menawarkan McGregor sebanyak AS$157.9 juta (RM701 juta) bagi pertarungan yang dijangka berlangsung pada penghujung tahun nanti.
McGregor yang hampir setahun tidak aktif dalam pertarungan seni bela diri selepas patah kaki pada saingan Ultimate Fighting Championship (UFC) sebelum ini mengakui bersedia untuk kembali turun ke gelanggang tinju.
“Secara jujur, tinju adalah sukan seni mempertahankan diri yang paling saya minati dan ketika bertemu dengan Mayweather buat kali pertama sebelum ini, saya cukup berpuas hati dengan prestasi saya di atas gelanggang.
“Cuma, buat masa ini fokus saya adalah untuk kembali ke arena UFC dahulu, tetapi jika ada tawaran untuk pertarungan tinju pada masa akan datang, saya tidak akan tolak,” katanya.
Sebagai rekod, pada pertarungan profesional terakhir bertemu McGregor, Mayweather berjaya meraih wang tunai sebanyak AS$280 juta (RM1.2 bilion), manakala McGregor pula membawa pulang ganjaran berjumlah $130 juta (RM577 juta). – AGENSI