IPOH – Hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini menegur perbuatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan kerana merogol pembantu rumahnya.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed berkata, sebagai majikan, Choo Kiong sepatutnya memberi pelindungan kepada mangsa yang merupakan wanita warga asing.
“Akan tetapi, OKT (orang kena tuduh) telah bertindak tanpa perikemanusiaan, menjadi perosak masa hadapan mangsa semata-mata demi memenuhi nafsu serakahnya.
“Harapkan pagar, pagar makan padi,” kata Abdul Wahab ketika membacakan penghakimannya bagi perbicaraan kes rogol membabitkan Choo Kiong di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Choo Kiong dibicarakan bagi pertuduhan merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.
Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap bekas exco kerajaan negeri itu. – KOSMO! ONLINE