fbpx

Lari tinggalkan rokok seludup RM1.6 juta dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang ditinggalkan di dalam sebuah kereta di Kampung Pasir Pekan Tengah, Wakaf Bharu dekat Tumpat semalam.

KOTA BHARU – Seorang penyeludup lari meninggalkan sebanyak 900,000 batang rokok seludup yang bernilai lebih RM1.6 juta termasuk cukai selepas kegiatannya dikesan anggota Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Pasir Pekan Tengah, Wakaf Bharu dekat Tumpat semalam.

Rampasan itu dijalankan pada pukul 3.30 pagi selepas PGA menjumpai sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang sarat dengan muatan rokok-rokok seludup itu ditinggalkan di kawasan tebing sungai.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebelum rampasan dijalankan, anggota Batalion 7 melihat dua buah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan rondaan di Kampung Pasir Pekan Tengah.

Menurutnya, anggota bertugas terus masuk ke kawasan kampung itu untuk mengesan pergerakan kedua-dua buah kereta itu.

“Bagaimanapun, anggota PGA hanya menemui sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang ditinggalkan dengan pintu pemandu terbuka kira-kira 200 hingga 300 meter dari kawasan tebing sungai.

“PGA telah cuba mengesan pemandu kereta tersebut, namun gagal ditemui. Pemeriksaan di dalam kereta tersebut telah menjumpai kotak-kotak mengandungi sebanyak 900,000 rokok seludup yang dianggarkan bernilai lebih RM1.6 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, siasatan mendapati, kesemua rokok-rokok seludup itu dipercayai akan dijual di Kelantan dan beberapa negeri lain termasuk di Kuala Lumpur.

Tambahnya, polis masih mengesan pemilik kereta Perodua Kenari itu yang dipercayai didaftarkan di luar negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI