fbpx

Sorok 2.2 tan daun ketum celah kotak tepung gandum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas di dalam sebuah lori di SJR Batu Melintang dekat Jeli semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Taktik licik seorang pemandu lori yang menyembunyikan sebanyak 2.2 tan daun ketum di celahan kotak-kotak tepung gandum pada bahagian muatan belakang kenderaan dipandunya terbongkar semasa dia tiba di sekatan jalan raya (SJR), Batu Melintang, Jeli dekat sini semalam.

Lelaki berusia 39 tahun yang bertindak sebagai ‘transporter’ itu dicekup kira-kira pukul 10 pagi semasa sedang dalam perjalanan dari Baling, Kedah untuk masuk ke negeri ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, anggota polis menjalankan pemeriksaan pada bahagian muatan lori jenis Mitsubishi Fuso yang ditutupi dengan kanvas semasa kenderaa itu tiba di SJR berkenaan.

Menurutnya, polis pada awalnya menjumpai kotak-kotak tepung gandum sebelum polis terus memeriksa celahan kotak tersebut sehingga ke bahagian tengah muatan lori tersebut.

“Pemeriksaan lanjut telah membawa kepada penemuan sebanyak 2.2 tan daun ketum bernilai RM22,000 yang diletakkan di dalam beg plastik di tengah-tengah ruangan muatan lori tersebut.

“Siasatan mendapati, pemandu lori menggunakan kotak tepung gandum bagi mengaburi mata pihak berkuasa agar kegiatannya itu tidak dapat dikesan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, berdasarkan siasatan, suspek membawa daun-daun ketum dari Baling dan akan dijual untuk pasaran di negeri ini.

Katanya, suspek turut mengaku menerima upah sebanyak RM1,000 untuk sekali perjalanan dan pernah sekali terlepas membawa daun-daun ketum ke Kelantan sebelum ini.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Polis sedang mengesan lokasi dituju suspek dan penerima daun-daun ketum yang berurusan dengan lelaki itu,” katanya.

Tambah Muhamad Zaki, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI