KUALA LUMPUR – “Dia lelaki yang bijak.”
Itu perkongsian ringkas pelakon Sharifah Amani saat ditebak tentang lelaki yang bakal bergelar suaminya tidak lama lagi.
Sama seperti wanita lain, pemilik nama penuh Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 36, itu mengakui sedang berbahagia dengan status baharunya sebagai tunangan orang sejak 26 Jun lalu.
“Alhamdulillah saya sangat gembira dengan status baharu ini. Saya bersyukur,” jawabnya ringkas kepada Kosmo! Online.
Tidak mendedahkan secara terperinci, anak kepda aktres terkenal, Fatimah Abu Bakar itu hanya mahu peminat tahu bahawa jejaka yang memikat hatinya itu tidak terlibat dalam industri hiburan.
Lebih utama, kebijaksanaan jejaka tersebut antara kriteria yang berjaya menambat hatinya.
“Paling penting, dia rakyat Malaysia, bukan daripada industri seni dan dia manusia yang sangat bijak serta kelakar.
“Dia kenalan lama saya juga, sudah empat tahun kenal dengannya,” katanya usai sidang akhbar drama baharu, Murder By Moonlight semalam.
Ditanya tentang khabar angin yang mendakwa dia bakal menamatkan zaman bujang pada tahun ini, pelakon filem Sepet itu tidak memberi sebarang pengesahan namun meminta orang ramai mendoakan agar urusannya dipermudahkan.
“Insya-Allah kalau dipermudahkan,” ujarnya.
Mengulas mengenai pendekatannya merahsiakan identiti dan wajah tunangnya, pelakon filem Gubra itu menjelaskan tindakan tersebut diambil kerana tidak mahu hubungan mereka ada campur tangan daripada pihak luar.
“Bagi saya, tidak perlu menghebahkan mengenai sebarang perkara kepada umum. Buat apa sahaja pun akan jadi kesalahan.
“Kalau boleh saya tak mahu ada suara-suara luar mengenai hal begini. Kalau boleh tak mahu jadi sebahagian daripadanya. Buat masa sekarang tak perlulah.
“Harapnya saya akan dedahkan wajahnya selepas bergelar suami,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Amani mengejutkan ramai apabila memuat naik ciapan dan foto menunjukkan cincin tunangnya pada 26 Jun lalu.
“Tahu-tahu sudah ada tunang. Syukur Alhamdulillah. Satu langkah ke depan, sampai bila-bila,” ciapnya. – KOSMO! ONLINE