fbpx

Bank Muamalat, LPPSA kerjasama bantu penjawat awam milik rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Farid (kanan) bersama Khairul Kamarudin (kiri) menyaksikan Zuwardi Zubir (dua kanan) bertukar MoU di Hotel Zenith, Putrajaya di sini, hari ini. FOTO: FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Sejumlah RM300 juta nilai pembiayaan disasarkan menerusi jalinan kerjasama yang dimeterai antara Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi membantu kakitangan sektor awam memiliki kediaman.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BMMB, Khairul Kamarudin berkata, melalui memorandum persefahaman (MoU) itu, pihak bank akan membantu memudahkan urusan pembiayaan kepada kakitangan sektor awam dan ahli keluarga terdekat berkelayakan menerusi pembiayaan perumahan gadaian kedua.

“Kita mensasarkan untuk tahun pertama, RM300 juta permohonan nilai pembiayaan di bawah program ini (namun) ia bergantung kepada harga rumah.

“Kakitangan sektor awam boleh memohon pembiayaan daripada LPPSA serta Bank Muamalat yang bersetuju menjadi pemegang gadaian kedua bagi menyelesaikan wang beza (differrential sum),” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian MoU yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi LPPSA, Zuwardi Zubir dan Pengarah Perbankan Runcit BMMB, Zury Rahimee Zainal Abiden di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul berkata, melalui gadaian kedua itu, BMMB akan menyediakan pembiayaan perumahan tambahan untuk pembelian rumah idaman bagi melengkapkan pembiayaan perumahan yang telah diluluskan oleh LPPSA.

Jelasnya, antara yang berkelayakan untuk membuat permohonan termasuklah pegawai tetap yang sedang berkhidmat dan mereka yang berkhidmat sekurang-kurangnya satu tahun dan telah disahkan dalam jawatan.

“Melalui MoU ini, kita menawarkan margin pembiayaan istimewa sehingga 90 peratus kepada bakal pembeli rumah.

“Di samping itu, kos berkaitan seperti takaful gadai janji, yuran guaman dan takaful pemilik rumah jangka panjang boleh dibiayai melalui pembiayaan perumahan Bank Muamalat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI