fbpx

Sabah kembali bangkit dari kecewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain-pemain Sabah meraikan jaringan pada perlawanan Liga Super 2022 PJ City menentang Sabah, di Stadium MBPJ, di sini hari ini./ FOTO SHIDDIEQIIN ZON

PETALING JAYA – Perubahan permainan di babak kedua membantu kebangkitan Sabah untuk menewaskan Petaling Jaya City 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Gol pantas yang dihasilkan penyerang import, Taiki Kagawama di awal separuh kedua jelas menghadirkan suntikan semangat buat Sabah dan kemenangan ini mencerahkan lagi peluang wakil dari Borneo itu untuk menamatkan saingan Liga Super di kedudukan terbaik.

Bagaimanapun, skuad The Rhinos harus berterima kasih kepada pemain gantiannya, Irfan Fazail selepas bekas bintang Harimau Muda itu meledak gol kemenangan pada minit ke-75.

Terdahulu, aksi di babak pertama seakan lebih berpihak kepada tuan rumah yang berjaya membuka jaringan menerusi penyerang kebangsaan, Darren Lok pada minit ke-34.

Walaupun pelawat turut memiliki beberapa peluang terbaik, kecemerlangan penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi jelas menghadirkan kekecewaan buat pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee.

Skrip berbeza dipamerkan Sabah di babak kedua dan Kagayama hanya memerlukan tempoh tiga minit untuk meledak gol penyamakan.

Walaupun PJ City kekal dengan motivasi tinggi, Irfan pantas membalas kepercayaan Kim Swee apabila berjaya menempatkan diri di kedudukan tepat untuk menyambar hantaran Maxsius Musa.

Di Stadium Hang Jebat, Penang yang baharu saja meraikan kejayaan ke separuh akhir Piala FA kembali dipalit kecewa selepas tunduk 4-1 kepada Melaka United.

Dalam perlawanan itu, empat bintang import tuan rumah, Emmanuel Oti, Adriano, Ifedayo Olusegun dan Justin Bass menjadi watak penting apabila kesemuanya mencipta nama selaku penjaring gol.

Beraksi di depan penyokong sendiri menyaksikan Melaka United bermula garang selepas Oti menyempurnakan peluang terhidang untuk meletakkan tuan rumah di depan seawal minit ke-4.

Jaringan itu jelas menghadirkan kesukaran buat Penang dan minit ke-36, Melaka United makin selesa apabila Adriano menambah gol kedua.

Seterusnya, Melaka United menambah dua lagi gol menerusi Ifedayo Olusegun pada minit ke-58 dan Bass (minit ke-60). Gol saguhati Penang dijaringkan oleh Lucas Silva pada minit ke-86. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI