fbpx

Cabutan bertuah PJM tawar hadiah Proton X50

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSOL (dua dari kanan) menunjukkan tanda bagus pada Majlis Pra-Pelancaran Cabutan Bertuah dan Menang PJM 2022 di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuklah hadiah utama berupa sebuah kenderaan Proton X50 menerusi program Cabutan Bertuah ‘Belanja dan Menang PJM 2022 yang akan bermula pada Ogos sehingga Disember 2022.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, program cabutan bertuah anjuran kementerian itu adalah untuk mengharmonikan lagi pertumbuhan sektor ekonomi sekali gus menggalakkan lebih banyak premis mengadakan jualan murah di seluruh negara.

“Cabutan bertuah ini akan dilaksanakan melalui enam siri cabutan bersegmen dan satu cabutan utama. Warganegara berumur 18 tahun dan ke atas yang berbelanja minimum RM100 dalam satu resit layak untuk menyertainya dengan mengemukakan penyertaan melalui pautan MySales Tracker yang diaktifkan pada masa terdekat.

“Selain menyertai cabutan bertuah ini pengguna juga akan mendapat banyak manfaat melalui aplikasi tersebut yang dibangunkan oleh kementerian terutamanya maklumat lokasi terkini jualan murah yang sedang berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Prapelancaran Cabutan Bertuah ‘Belanja dan Menang’ PJM 2022 di sini semalam.

Selain hadiah utama Proton X50, peserta yang bertuah berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti baucar beli-belah, peralatan telekomunikasi, barangan elektrik, perabot, motosikal jenis Yamaha Y15 dan kenderaan Perodua Ativa.

Menurut Rosol, program yang berlangsung sehingga 31 Disember ini merupakan strategi kementerian untuk meningkatkan penyertaan pemain industri bagi mengadakan lebih banyak jualan murah di seluruh negara sekali gus membantu mengurangkan kos belanja dan meringankan tekanan Keluarga Malaysia.

“Cabutan bertuah ini dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat dan dianggarkan kita bakal menerima lebih daripada satu juta penyertaan dari seluruh negara.

“Pihak kementerian juga akan melaksanakan pelancaran seumpama ini di enam lagi lokasi terpilih di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi menarik lebih ramai pengguna menyertainya,” ujar beliau.

Tambah Rosol, melalui PJM 2022, KPDNHEP juga telah memperkenalkan inisiatif jualan murah, ‘Sepanjang Masa Seluruh Negara’ dengan menggalakkan, memudah cara dan mempromosi premis peruncitan yang mengadakan jualan murah.

“Melalui inisiatif ini, kementerian telah longgarkan syarat-syarat Notis Jualan Murah bagi bolehkan peniaga mengadakan jualan murah tanpa had masa berbanding hanya empat kali setahun sahaja.

“Melalui pindaan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 2019 pula, peniaga tidak lagi perlu menunggu kelulusan daripada kementerian untuk mengadakan jualan murah dan hanya perlu mengemukakan makluman melalui permohonan dalam talian Sistem Notis Jualan Murah KPDNHEP, 24 jam sebelum mengadakan jualan murah,” jelasnya.

Tambah beliau, KPDNHEP berharap usaha yang dilaksanakan itu dapat menggalakkan rakyat terus berbelanja dengan memperolehi ganjaran tambahan.

“Bagi pengguna pula, mereka boleh mengambil kesempatan ini untuk berbelanja pada harga berpatutan di premis yang mengadakan jualan murah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI