fbpx

Bekas atlet paralimpik derita gout, perniagaan musnah akibat banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. FAIZAL bersama isteri dan anak-anaknya kini menumpang di inap desa di Seremban setelah rumah sewa mereka dilanda banjir.

SEREMBAN – Bukan sahaja hilang punca pendapatan akibat penyakit gout, seorang bekas atlet para­limpik bola keranjang turut diduga apabila peralatan perniagaan dan keretanya rosak dalam banjir kilat minggu lalu.

Mohd. Faizal Ali, 37, yang kehilangan kaki ketika berusia 10 tahun disebabkan penyakit kan­ser tulang membe­ritahu, penya­kit gout yang dide­ritainya ketika ini semakin teruk sejak empat bulan lalu.

Berikutan itu katanya, perniagaan biskut, pau dan ayam goreng yang diusahakan untuk menyara isteri dan empat anak terpaksa dihentikan akibat masalah kesihatan.

“Masalah gout yang saya alami semakin teruk sehingga ada benjolan pada sendi di kaki dan tangan. Saya juga diserang sakit jantung pada April lalu.

“Beban kewangan makin bertambah apabila rumah sewa saya dinaiki air sehingga paras pinggang Jumaat lalu. Ini kali ketiga rumah sewa dilanda banjir sepanjang tahun ini,” katanya di sini kelmarin.

Cerita Mohd. Faizal lagi, di­sebabkan kejadian itu, banyak bara­ngan kediamannya rosak terma­suk kereta Proton Wira Aeroback yang tersadai sehingga tidak mampu dibaiki.

Malah, dia kini menumpang di rumah inap desa atas ihsan pemilik rumah sewanya.

Katanya, dua ketuhar dan peti sejuk untuk perniagaan biskut rosak dan tidak dapat dibaiki berikutan masalah kewangan.

“Kami tidak mampu beli barangan kediaman, malah rumah sewa RM650 yang saya duduk juga tertunggak selama enam bulan. Mujurlah bil elektrik yang tertunggak sebanyak RM900 dibiaya oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

“Sebenarnya, saya buntu memikirkan keadaan kesihatan sekarang yang mana penglihatan semakin kabur, tidak selera makan dan sakit badan mungkin di­sebabkan pengambilan ubat.

“Saya tidak mahu meminta, tetapi duit yang ada memang tidak mencukupi kerana perlu mengutamakan keperluan anak serta kos perubatan.

“Dalam keadaan tersepit, saya ada meminjam daripada kawan-kawan tetapi sehingga sekarang tidak mampu bayar ­balik,” luah­nya.

Jelas Mohd. Faizal, isterinya Nur Farah Nabila Harun, 27, yang merupakan suri rumah turut membantunya berniaga kerana dia tidak mampu melakukan kerja seorang diri.

Mohd. Faizal berkata, sebelum ini dia pernah bekerja sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, tetapi diberhentikan pada 2018 disebabkan masalah sakit gout yang teruk.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu meringan beban keluarga ini boleh menghubungi Mohd. Faizal di talian 011-31815447 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0511141100017066 (Mohd. Faizal).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI