PUTRAJAYA – Pemandu trak pikap disaran mendapatkan latihan pemanduan tambahan di institut latihan memandu bagi meningkatkan kemahiran pengendalian kenderaan mengikut keperluan masing-masing.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, saranan itu tidak terhad kepada pemandu trak pikap, tetapi semua jenis kenderaan dalam usaha memantapkan pemanduan mereka.
“JPJ berpandangan isu kemalangan yang berlaku sekarang berkait rapat dengan sikap pemandu trak pikap seperti laju walaupun jalan licin dan hujan lebat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai saranan pakar automotif agar lesen khas trak pikap diwujudkan bagi mengurangkan kemalangan membabitkan kenderaan itu.
Katanya, corak pemanduan berbahaya seperti mengekori rapat kenderaan di hadapan juga mengundang bahaya jika berlaku situasi brek secara mengejut.
“Selain itu, pemandu juga mudah hilang kawalan apabila memandu di laluan beralun kerana kurang memberi perhatian kepada penggunaan gear yang betul.
“Terdapat juga pengubahsuaian teknikal atau mekanikal dalam enjin serta struktur trak pikap sekali gus menyumbang kepada kegagalan kenderaan untuk berfungsi dengan baik ketika berlakunya situasi kecemasan,” jelas beliau.
Ditanya mengenai keperluan lesen khas trak pikap, Zailani memberitahu, tiada keperluan bagi pihaknya untuk mewujudkan lesen itu ketika ini.
“Secara amnya pemilikan lesen memandu Kelas D mencukupi sebagai pendedahan awal pemanduan, skop atau modul ujian selain tempoh pengalaman dan kemahiran mengendalikan trak pikap.
“Walau bagaimanapun JPJ akan sentiasa memantau dan melaksanakan penguatkuasaan dan advokasi secara berterusan kepada pemilik pikap bagi memastikan peraturan yang ditetapkan dipatuhi,” katanya.