fbpx

Jamal mahu fail notis rayuan keputusan kes fitnah Teresa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jamal (kiri) dan Teresa Kok.

SHAH ALAM – Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos akan memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan mengenai keputusan kes fitnah ke atas Teresa Kok berkaitan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Beliau merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang memerintahkan supaya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh itu.

Jamal berkata, beliau sudah menerima nasihat peguam baharunya bahawa perjalanan perbicaraan kes itu tidak mematuhi prosedur ditetapkan.

“Permohonan saya ditolak untuk membuat semakan terhadap dokumen utama perbicaraan iaitu dokumen Perbendaharaan Negeri Selangor yang dikatakan berklasifikasi ‘terhad’  mengikut Akta Rahsia Rasmi (ARR) 1972.

“Sebelum perbicaraan, pihak plaintif pada saat akhir telah menyerahkan surat untuk membantah dokumen yang difailkan terlebih dahulu oleh peguam saya sejak lebih 18 bulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, beliau sudah memohon untuk penangguhan penuh perbicaraan itu kerana memerlukan masa bagi melantik peguam baharu yang lebih berpengalaman mengendalikan kes seumpamanya.

“Hak saya untuk melantik peguam yang baharu itu seolah-olah dinafikan. Maka, sebab itu saya tidak mengemukakan Soal Balas atau  Pemeriksaan Balas malah tidak memanggil saksi-saksi pada sesi perbicaraan,” ujarnya.

Tambah Jamal, beliau melantik peguam baharu untuk memfailkan rayuan keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan.

“Semakan terhadap dokumen perlu dilaksanakan bagi mengesahkan sama ada ia berstatus ‘Terhad’ ARR 1972 atau hanya manipulasi pihak plaintif.

“Peguam baharu saya kini berada di London dan akan memfailkan notis rayuan dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd. Arief Emran Arifin membenarkan tuntutan saman fitnah Teresa terhadap Jamal yang difailkan lima tahun lalu setelah berpuas hati defendan gagal membuktikan pembelaannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI