SIK – Kira-kira 7,000 penduduk dari 13 kampung di daerah ini berdepan ancaman kepala air dan banjir berlumpur jika aktiviti pembalakan dan ladang hutan di kawasan Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi dan Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda terus dilakukan secara tidak terkawal.
Kawasan kampung yang dibimbangi terjejas di kawasan Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi ialah Kampung Lubuk Tualang, Kampung Belimbing, Kampung Charuk Puyuh, Kampung Jerai, Kampung Kemelong, Kampung Charuk Padang dan Pekan Sik.
Di Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda pula, kampung terlibat ialah Kampung Landai, Kampung Gulau, Kampung Pinang, Kampung Lentang, Kampung Belantik dan Sekolah Ampang Muda
Penasihat Sahabat Alam Sik (SAS), Mohd. Sobri Ramlee berkata, dia bimbang kejadian menimpa penduduk di Kupang, Baling pada awal bulan ini berlaku kepada penduduk di situ.
Katanya, lebih membimbangkan apabila terdapat projek pertanian di Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi yang didakwa turut mempunyai kolam takungan air.
“Kita risau kolam takungan ini pecah seterusnya mengakibatkan limpahan air yang besar sehingga memusnahkan kawasan perumahan dan mengorbankan nyawa.
“Kolam ini seperti bom jangka, ia boleh pecah pada bila-bila masa pada musim hujan,” katanya di sini semalam.
Kata beliau, jika kolam takungan itu pecah, impaknya sangat besar dan kejadian menimpa Kampung Iboi dikhuatiri boleh berlaku di Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi dan Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda.
“Sebelum ia berlaku, kita harap kerajaan dapat bertindak segera,” ujarnya.
Menurutnya, di Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda pula, terdapat aktiviti pembalakan dan kuari pasir di situ.
“Pernah berlaku kepala air di kawasan kampung di situ sehingga menyebabkan sebahagian dapur sebuah rumah roboh akibat tebing runtuh disebabkan arus deras selain wujud aliran sungai baharu,” jelasnya.
Tambahnya, agensi berkaitan perlu mengkaji semula tahap keselamatan kolam takungan selain menyiasat sama ada ia diselenggara dengan baik.
“Jika berbahaya dan berisiko pecah, tindakan membuang air kolam takuangan itu perlu dilakukan oleh pihak berwajib,” kataya.
Sementara itu kata beliau, pihaknya sememangnya tidak bersetuju dengan projek pertanian yang dilakukan di kawasan hutan simpan.
“Jika pembalakan dilakukan secara selektif, ia tidak akan memberi kesan kemusnahan teruk berbanding pembalakan secara cuci mangkuk bagi projek ladang hutan,” tambahnya.