fbpx

Mat rempit mahu trek lumba motorsikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Banyak nyawa melayang di atas jalan raya gara-gara lumba haram. - Gambar Hiasan
ZULKIFLI MANZOR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

INSIDEN kematian akibat akti­viti lumba haram di Pulau Pinang baru-baru ini seharusnya membuka mata semua pihak.

Betapa gejala lumba haram yang sudah berlarutan begitu lama bukan lagi isu yang boleh dipandang enteng. Kegiatan lumba haram bukan lagi sekadar permasalahan sosial golongan muda-mudi, sebaliknya ia suatu konflik.

Konflik ini amat berbahaya dan mengancam nyawa orang ramai sama ada bagi mereka yang terlibat mahupun ­sebaliknya. Sudah tiba masa untuk kita akui bahawa setakat ini belum ada mekanisme berkesan untuk menangani permasalahan itu.

Mungkin kerana perbinca­ngan selama ini lebih menjurus kepada pendekatan menghukum berbanding menyelesaikan. Pernahkah kita bertanya terus kepada mereka yang dilabelkan sebagai mat rempit mengapa mereka berlumba haram?

Penggemar lumba motosikal tetapi enggan digelar mat rempit, Zaidi, 25, menyatakan panda­ngannya kepada penulis baru-baru ini.

“Mereka yang berlumba ha­ram ini kebanyakannya bukan kerana duit, tetapi kerana minat terhadap perlumbaan motosikal.

“Mahu buktikan ‘mesin’ me­reka paling laju dan mereka penunggang paling laju. Satu-satu­nya ‘trek’ yang mereka ada untuk buktikan adalah jalan raya. Bukan semua yang ada skil berpeluang di Litar Antarabangsa Sepang. Bukan semua pula berpeluang sertai Cub Prix.

“Jika ada trek yang bebas untuk mereka menzahirkan minat mereka mungkin masalah lumba haram dapat diatasi,” katanya.

Bekas pelumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid turut menyatakan pandangan hampir serupa di laman Facebook baru-baru ini.

Bagi beliau banyak persoalan perlu diperhalusi dalam isu lumba haram ber­ban­ding menekankan tentang hukuman.

Ujar beliau, pihak berwajib dan semua kerajaan negeri perlu berusaha menangani permasalahan tersebut secara lebih efektif.

“Mungkin boleh contohi kerajaan Terengganu dalam mencari penyelesaian dengan menyediakan tapak litar sebenar.

“Sikit-sikit hendak dipenjarakan. Buatlah trek atau program sukan bermotosikal yang lebih tersusun daripada asyik buat padang golf,” katanya secara sinis.

Bagi penulis pandangan ke­dua-dua mereka ada kewajaran kerana ia suatu pendekatan sosiologi yang belum pernah diper­kasakan.

Selepas begitu lama negara bergelut dengan isu lumba ha­ram yang tidak berkesudahan, wajar pula mekanisme ini diberi peluang.

Tidak perlu berbelanja besar bina trek baharu, cukup sekadar menyediakan tempat khusus untuk aktiviti ‘lumba halal’

Pembuat dasar bagaimanapun tidak boleh syok sendiri, sebaliknya harus mengkaji dan mengerti tentang aktiviti golo­ngan muda ini.

Secara umum terdapat dua kategori lumba motosikal iaitu perlumbaan seperti Cub Prix dan kedua perlumbaan ‘sprint test’.

Paling penting elemen ­keselamatan diterapkan tanpa kerenah birokrasi yang ­menyulitkan untuk sesiapa mengambil bahagian.

Berkompromi terhadap minat mat rempit bukan bermaksud beralah, sebaliknya ia merupakan suatu pendekatan ‘diplomasi’.

Pendekatan yang perlu dicuba untuk mengelakkan anak-anak muda dan generasi masa depan negara ini ­da­ripada terus bergelumang dalam gejala lumba haram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI