KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Pelanjutan Subseksyen 4(5) membolehkan tempoh penahanan individu sehingga 28 hari di bawah SOSMA terus berkuatkuasa untuk tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.
Usul berkenaan diluluskan melalui undian belah bahagian yang menyaksikan seramai 111 Ahli Parlimen bersetuju, 88 Ahli Parlimen tidak bersetuju, manakala 21 lagi Ahli Parlimen tidak hadir.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, undi belah bahagian diadakan selepas lebih 15 Ahli Parlimen bangun dalam Dewan Rakyat meminta pengundian cara tersebut.
“Lebih 15 Ahli Parlimen berdiri minta diadakan belah bahagian jadi saya perintahkan satu belah bahagian diadakan,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 20 Julai lalu berjaya membatalkan keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac 2022 menolak usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA.
Usul berkenaan ditolak pada 23 Mac lalu selepas keputusan undian belah bahagian ketika itu menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir. – KOSMO! ONLINE