TETAP padu dan mantap! Itulah yang boleh dikatakan tentang konsert Fabulous Friday Wings di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC pada 15 Julai lalu.
Biarpun sudah melakukan banyak konsert, peminat tidak pernah jemu memberikan sokongan kepada kumpulan rock legenda yang dianggotai oleh Datuk Awie (penyanyi), Eddie (bass), Black (dram), Syam (gitar) dan Edrie Hashim (gitar).
Buktinya tiket konsert Fabulous Friday Wings habis terjual dalam tempoh 15 minit sahaja. Atas sebab tersebut, penganjur Shiraz Projects terpaksa menambah satu lagi persembahan pada 14 Julai yang turut habis terjual dalam tempoh lima minit.
Menyentuh tentang persembahan, Wings dengan belasan dendangan termasuk Aku Pun Tahu, Gema Di Inderaloka, Gemuruh, Dalam Kehadiran Sofiah, Ingatkan Dia, Rock N Roll Lu Punya Suka, Harapan dan Sejati, semuanya seperti tidak puas, sungguh memukau.
Sebagaimana gema di inderaloka, yang juga judul lagu berhantu nyanyian mereka, persembahan Wings dengan 17 buah lagu begitu mengasyikkan.
Ironinya, Awie yang dilihat menyanyi dengan vokal yang cukup mantap sebenarnya berada dalam keadaan kurang sihat dan terpaksa membawa bekalan ubat di atas pentas pada konsert malam kedua.
Awie juga sempat berkongsi dengan penonton bahawa dia terpaksa mendapatkan rawatan di hospital sejurus konsert pertama berakhir.
Sejujurnya, andai Awie tidak memaklumkan perkara tersebut, tiada siapa menyedari tentang tahap kesihatannya kerana mampu menyanyikan lagu bernada tinggi tanpa sebarang masalah.
“Sebenarnya saya kurang sihat dan sudah ke hospital. Namun, ketika ini ramai yang sakit sehinggakan tidak cukup katil.
“Macam-macam bekalan ubat saya bawa ke atas pentas. Malah, tangan saya juga kejang ketika membuat persembahan,” katanya.
Sungguhpun begitu, Awie tetap berasa kekurangan kerana tidak dapat memberi persembahan terbaiknya dan memohon maaf kepada penonton yang hadir.
Beliau turut menjelaskan kurang berpuas hati dengan persembahannya ketika menyanyikan lagu kegemarannya, Gema Di Inderaloka.
Namun, Awie enggan menjadikan kesihatannya sebagai alasan untuk tidak memberikan yang terbaik buat penonton.
“Saya cuba sehabis baik untuk semua. Semestinya saya kecewa kerana kami sudah berlatih bersungguh-sungguh selama lebih sebulan, tetapi pada hari konsert tidak sihat pula,” katanya.
Tidak hanya menghiburkan peminat dengan vokal hebat, Awie juga berjaya mencuit hati penonton dengan lawak spontannya.
Nampaknya pengalaman berlakon dalam banyak filem komedi seperti Hantu Kak Limah dan Zombie Kampung Pisang menyerlahkan sisi komedinya yang secara tidak langsung menjadikan Awie sebagai penghibur versatil.
Secara keseluruhan konsert Fabulous Friday Wings berlangsung dengan jayaanya. Buat peminat, konsert kali ini memberi pengalaman baharu kerana kebanyakan lagu yang didendangkan jarang dipersembahan oleh Wings.