GARA-GARA menggayakan sepasang sut berwarna ungu yang dihadiahkan ibu mentua, penyanyi Syahrini disindir netizen, bahkan ada yang berasa ‘kasihan’ melihat sikapnya.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, pelantun lagu Cinta Tapi Gengsi berkongsi rasa gembira selepas dihadiahkan sepasang sut berwarna ungu oleh ibu mentuanya, Reiko Barack.
“Memakai baju daripada ibu mentua yang tahu menantunya sukakan warna ungu. Terima kasih mama,” tulis Syahrini.
Bagaimanapun, lain pula pandangan netizen apabila mereka berasa kasihan lalu menyindir Syahrini yang cuma dihadiahkan baju oleh ibu mentua berbanding diberikan sesuatu yang lebih bernilai.
“Cuma baju? Saya fikir Syahrini dihadiahkan rumah, tanah berhektar-hektar atau kedai emas oleh mertua,” sindir seorang netizen.
“Dihadiahkan baju sahaja sudah bangga. Bagaimana agaknya jika mentua hadiahkan Lamborghini atau rumah mewah,” kata seorang lagi netizen.