TAHUN 2022 merupakan masa penuh cabaran. Walaupun pandemik Covid-19 agak terkawal pada masa ini, tetapi ia terus memberi impak besar kepada ramai orang, bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia.
Di sebalik setiap cabaran, sentiasa ada peluang. Pandemik yang baru sahaja reda telah meningkatkan kelajuan pembangunan dan penggunaan teknologi baharu.
Kita semakin dihidangkan dengan peranan berfaedah teknologi Industri 4.0 dalam mengubah cara hidup dan berhubungan antara satu sama lain, bekerja serta mendidik anak-anak.
Memang tidak dinafikan, perkembangan teknologi baharu ini akan mengambil alih beberapa kerja yang dilakukan oleh manusia sebelum ini.
Data daripada sebuah badan penyelidikan, McKinsey & Company meramalkan, walaupun sebanyak 23 juta pekerjaan boleh digantikan dengan automasi menjelang 2030, terdapat 27 hingga 46 juta pekerjaan baharu dalam bidang kejuruteraan dan pemikiran kreatif boleh diwujudkan dalam tempoh sama.
Pada ketika kerajaan dan pemimpin industri sibuk menyesuaikan diri dengan keperluan Industri 4.0, sektor pendidikan termasuk sekolah mesti memikirkan semula pendidikan dan bagaimana menyediakan golongan muda untuk merebut peluang di masa depan.
Untuk itu, pelajar mesti dilengkapi dengan kemahiran dan minda yang betul untuk membantu mereka berkembang maju dalam dunia pekerjaan.
Ini adalah salah satu sebab yang mendorong kerajaan membuat banyak penyesuaian baharu bagi memastikan kurikulum terkini untuk program pembelajaran di sekolah kekal relevan.
Kurikulum pengkomputeran mula dikaji semula untuk pelajar muda membangunkan kemahiran berkaitan Industri 4.0 seperti pengaturcaraan, pemikiran pengiraan, kecerdasan buatan dan analisis data.
Kurikulum ini akan membantu mereka mengenali peranan sains komputer dalam pelbagai industri.
Ini termasuk membangunkan kemahiran sains komputer dan mengiktiraf peranannya untuk diselaraskan dengan kerjaya masa depan.
Kini, kepentingan pelajar untuk mengembangkan kemahiran ini pada usia muda mula dititikberatkan.
Ia sangat penting untuk mempunyai kemahiran pengkomputeran yang mendalam, yang mana lebih awal kanak-kanak boleh membina dan mengembangkannya, semakin bersedia mereka untuk dunia pekerjaan pada masa mendatang.
Dengan mempelajari pemikiran literasi perkomputeran dan kemahiran pengaturcaraan sejak kecil, pelajar dapat mengembangkan kecekapan seperti logik dan penguraian secara progresif di sekolah, sebelum mereka perlu bersaing dengan menerapkannya dalam persekitaran profesional.
Para pelajar muda dapat berseronok dengan program mereka, sambil membangunkan pengetahuan dan kemahiran penting yang kemudiannya boleh digunakan untuk pembelajaran yang semakin kompleks.
Jika mahu anak-anak kita bersedia untuk Industri 4.0 dan menghadapi cabaran dan peluang pada masa depan, penting untuk kita menyediakan mereka dengan pendidikan komprehensif dengan asas kukuh, termasuk membantu mereka membangunkan sistem pengkomputeran.
Ekosistem digital merupakan salah satu elemen dalam merealisasikan Industri 4.0 termasuklah perkembangan pendidikan.
Untuk mencapai ekosistem digital, ia memerlukan kerjasama banyak pihak.
Penyediaan ekosistem digital di setiap peringkat membolehkan pembangunan infrastruktur telekomunikasi bagi memastikan kualiti bakat digital negara seperti di kawasan luar bandar tidak tercicir.
Kementerian dan pemegang taruh diberi tanggungjawab untuk memastikan ketersediaan infrastruktur teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang sekata di seluruh negara.
Selain itu, kita perlu memastikan infrastruktur hiliran ICT perlu dimanfaat dan digunakan secara optimum dan maksimum.
Elemen asas untuk membina ekosistem digital adalah bakat digital yang ada pada generasi muda negara.
Inilah sebabnya, bakat digital ini akan menjadi tulang belakang dalam pembangunan ekosistem berkenaan.
Dalam hal ini, peranan institusi pendidikan seperti sekolah mahu pun universiti adalah untuk menyediakan rangsangan supaya ketersediaan kedua-dua bilangan dan kualiti sumber manusia digital negara mencukupi.
Selain itu, pihak berkepentingan juga mempunyai tugas dalam memastikan pengurusan sumber spektrum tenaga kerja yang optimum dan cekap.
Kita melihat kadar penggunaan teknologi baharu dalam industri akan datang terus berkembang.
Justeru, pengurusan sumber tenaga buruh harus dirancang sebaik mungkin, bukan sahaja sebagai hasil negara, tetapi juga sebagai asas untuk pembangunan produktiviti negara, seterusnya membawa kesejahteraan ekonomi.
AFIZAN AMER ialah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara Negeri Sembilan.