fbpx

Mahkamah: Peguam Hisyam Teh Poh Teik wakili Najib dalam rayuan akhir kes SRC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Peguam senior Hisyam Teh Poh Teik dilantik sebagai peguam utama yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak bagi rayuan akhir kes dana SRC International Sdn. Bhd.

Menerusi surat yang dialamatkan kepada Pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, barisan peguam lain yang akan turut mewakili bekas Perdana Menteri itu ialah Liew Teck Huat dan Rueben Mathiaravanam.

Firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) dalam surat itu turut memaklumkan bahawa, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak lagi mewakili Najib dalam kes rayuan akhir, yang akan didengar bulan depan.

“Kami memohon supaya mahkamah dapat merekodkan penukaran peguam cara dan peguam, sepertimana yang dinyatakan.

“Kami juga memohon mahkamah untuk menetapkan satu tarikh sebutan dan tarikh pengurusan baharu dengan segera mengikut keselesaan mahkamah, bagi membolehkan kaunsel mengemuka maklumat terkini dan mendapatkan arahan selanjutnya daripada mahkamah,” katanya.

Mengikut jadual, tarikh pengurusan kes ditetapkan pada 29 Julai ini manakala pendengaran rayuan akhir adalah pada 15 hingga 26 Ogos.

Pihak pembelaan berharap, perkara ini boleh diuruskan dengan segera bagi mendapatkan arahan yang diperlukan daripada mahkamah.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib, selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon agar dibenarkan untuk diwakili seorang peguam Queen’s Counsel (QC) dari United Kingdom.

Pada 21 Julai lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan peguam QC dari United Kingdom (UK) Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib.

Sebelum ini, Hisyam merupakan peguam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI