Bertuahnya bila diri berada dalam kalangan keluarga media kerana salah satu kebaikan yang sentiasa dimanfaatkan ialah menimba pelbagai ilmu khususnya berguru dengan pakar motivasi secara ‘percuma’.
Kami tidak perlu melabur ratusan dan ribuan ringgit untuk menempah tempat mengikuti mana-mana program motivasi keusahawanan anjuran tokoh terkenal di negara ini, kerana pastinya jemputan akan diterima kelak.
Bagi usahawan yang pernah menyertai program-program ilmiah tersebut, pastinya ia seperti mendapat satu suntikan baharu untuk menaikkan semangat juang memperbaiki dan mengubah diri menjadi lebih baik.
Selain mendapat pelbagai idea untuk pelan pemasaran, ia juga dapat mengukuhkan rangkaian perniagaan bersama usahawan lain yang ditemui pada program berkenaan.
Bagi penulis, sesi temu bual bersama mana-mana usahawan berjaya, turut menjadi salah satu pendorong semangat untuk memperbaiki kemahiran diri.
Berkesempatan menemu bual seorang ibu muda berusia 23 tahun yang telah berjaya mencatat jualan tertinggi yang ditetapkan oleh syarikat pengeluar produk ini bagi sepanjang tahun 2019 membuatkan penulis teruja untuk mengetahui rahsia kejayaannya.
Wanita yang dikenali sebagai Fatin adalah antara pengedar utama yang berulang kali naik ke pentas mengambil pelbagai anugerah yang dinobatkan kepadanya termasuk hadiah mengerjakan umrah.
Menurut graduan Kolej Vokasional Gombak, dia memulakan modal membeli stok barangan kosmetik hanya sebanyak RM300 pada tahun lalu dan berkat usaha gigihnya itu, dia dan kumpulannya yang terdiri daripada 50 pengedar lain telah berjaya mencatat jualan lebih daripada setengah juta ringgit.
Fatin kini meraih pendapatan bulanannya antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan dan segala usaha itu diperolehnya secara konsisten hanya bekerja dari rumah, menggunakan platform media sosial dan bijak menguruskan kumpulan pengedarnya untuk sentiasa aktif mempromosikan produk keluaran syarikat.
Lebih menarik, semasa PKP, jualan daripada kumpulan yang diterajui Fatin berjaya mencatat lebih daripada RM120,000 sekali gus komisennya ketika itu mencecah kepada RM30,000.
Diasak dengan pelbagai soalan bagi mencungkil rahsia kejayaan, Fatin begitu jujur menjawab pertanyaan pihak media dan ia bukan sengaja diolah sebagai promosi syarikat tetapi jawapannya datang daripada hatinya yang tulus dan ikhlas.
Daripada ‘bahasa tubuh’ ibu muda ini, dia terlalu jujur memberi penerangan tentang rahsia kejayaannya selama ini, tiada unsur kepuraan dan keegoan dalam tutur katanya itu.
Secara senyap dia berkata, kehidupannya kini telah berubah secara berperingkat-peringkat kerana dia mampu memandu kenderaan mewah, memiliki wang simpanan nilai enam angka dan bakal mendiami rumah sendiri tidak lama lagi.
Masih jauh lagi perjalanan ibu muda ini dalam dunia perniagaan tetapi dalam usia mudanya, dia mampu menyerap segala tekanan, cabaran jatuh bangun sepanjang kariernya untuk bergelar jutawan pada masa depan.-K! ONLINE