fbpx

Konsep jual beli ‘cedok-cedok’ tidak sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kaedah jual beli secara cedok-cedok diamalkan segelintir peniaga menerusi media sosial ketika ini bukan sahaja tidak sah sebaliknya turut mempunyai unsur gharar (ketidaktentuan), jahalah (ketidaktahuan) dan perjudian.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, jual beli itu menyerupai konsep mulasamah dan munabazah yang dilarang kerana mengandungi unsur gharar, jahalah dan perjudian.

“Bukan itu sahaja, ia dilihat seolah-olah bergantung kepada nasib semata-mata dan menafikan hak pembeli dalam memilih barangan dikehendaki dan disukai dengan harga yang dibayar.

“Justeru, situasi itu telah melanggar prinsip-prinsip jual beli yang sepatutnya ada seperti khiyar (pilihan),” katanya menerusi artikel diterbitkan di portal Maktabah Al-Bakri hari ini.

Katanya, sekiranya pembeli menyatakan redhanya dengan kaedah pembelian ceduk itu, ia tetap tidak diharuskan oleh syarak sebagaimana keredhaan pemain judi akan menang atau kalahnya.

“Jadi, saya menasihati orang ramai supaya menjauhi jual beli seperti ini kerana banyak lagi jual beli yang jauh lebih baik dan bebas daripada unsur-unsur yang diharamkan itu,”’ujarnya.

Trend jual beli secara cedok-cedok semakin mendapat perhatian ketika ini dimana peniaga akan mempromosikan barang-barang yang hendak dijual kepada pengikutnya di laman sosial.

Ketika jual beli itu, peniaga akan mencedok pelbagai jenis barangan yang diletakkan di dalam bekas lebih besar menggunakan senduk atau seumpamanya.

Antara barangan yang dijual itu pula terdiri daripada gula-gula, aksesori, barang kosmetik dan seumpamanya dengan harga tertentu untuk satu cedokan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI