fbpx

Mahkamah: 2 lelaki tempatan didakwa bunuh lelaki Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua tertuduh R.Ramesh (baju merah) dan S.Kumara Rao (belakang) keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Pakistan dua minggu lalu. FOTO:AFIQ RAZALI

PETALING JAYA – Dua lelaki tempatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Pakistan di sebuah kondominium dua minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh iaitu S.Kumara Rao, 55, dan R.Remesh, 45, selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati yang mana ia dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama-sama didakwa membunuh Qadir Muhammad, 35, di sebuah unit kondominium di Jalan SS7/26, Kelana Jaya di sini pukul 8.48 malam pada 11 Julai lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ikat jamin diberikan dan mahkamah kemudian menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Kosmo! 23 Julai lalu melaporkan identiti mayat lelaki warga asing yang ditemui mati dalam keadaan bogel dipercayai terjatuh dari tingkat 17 sebuah kondominium sekitar Kelana Jaya pada 12 Julai lalu telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin berkata, pihaknya telah memohon bantuan kedutaan berkaitan dalam mengenal pasti identiti mangsa.

Terdahulu Kosmo! pada 13 Julai lalu melaporkan, dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki warga asing di sekitar Kelana Jaya. Pada masa sama, beberapa peralatan seks turut dirampas ketika proses penahanan terbabit.

Terdahulu, polis mengesahkan mangsa dan kedua-dua suspek berkenalan menerusi aplikasi media sosial untuk golongan gay dan sudah beberapa kali bertemu kedua-dua suspek di lokasi kejadian (rumah suspek).

Mangsa dipercayai meninggal dunia sehari sebelum mayatnya dijumpai oleh pengawal keselamatan kondominium berkenaan dalam keadaan bogel. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI