fbpx

Gangguan bekalan air selama 3 hari di Hulu Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sebanyak 188 kawasan sekitar Hulu Selangor akan mengalami gangguan air berjadual selama tiga hari ekoran kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air Sungai Rasa (LRA Sg Rasa).

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Elina Baseri berkata, kerja penyelenggaraan itu akan bermula pukul 9 pagi pada 9 Ogos depan dan dijangka siap sepenuhnya kira-kira pukul 1 pagi, 11 Ogos.

Beliau berkata, pelaksanaan kerja tersebut telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaiktaraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan.

“Bekalan air dijangka akan mula disalurkan kepada para pengguna bermula pukul 1 pagi, 10 Ogos secara berperingkat setelah kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan siap, dan seterusnya apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan.

“Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada pukul 1 pagi, 11 Ogos. Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Elina berkata, pihaknya akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Justeru katanya, Air Selangor menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

“Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan Air Selangor Wilayah Petaling dan Gombak.

“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing yang akan dibuka di dua stesen pengisian air di Batu Caves dan Persiaran Mahogani, Kota Damansara,”ujarnya.

Tambah beliau, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. -KOSMO ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI