PETALING JAYA – LBS Bina Group Berhad (LBS) melalui anak syarikatnya, Casa Inspirasi Sdn. Bhd. (Casa Inspirasi) telah memeterai perjanjian untuk cadangan pembangunan tanah seluas lebih daripada 120 hektar di Genting Permai, Bentong, Pahang.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya merancang untuk membangunkan tanah tersebut sebagai sebuah pembangunan bercampur yang lengkap dengan pangsapuri servis, rumah teres dua tingkat, rumah bandar, banglo dan institusi pendidikan serta kemudahan awam seperti sekolah dan hospital yang berdekatan.
Menurut beliau, nilai pembangunan kasar projek tersebut dijangka lebih daripada RM9 bilion.
“Kami melihat projek pembangunan baharu ini bakal meluaskan kepakaran pembangunan hartanah dan pembinaan sekali gus mengukuhkan segmen pembangunan kediaman.
“Kami optimis terhadap potensi masa hadapan pembangunan Genting Highlands dan kami akan terus berusaha untuk mencari peluang pembangunan baharu serta bersiap sedia untuk merebut setiap peluang yang tersedia jika ada yang bersesuaian.
“Kami percaya tanah ini terletak di lokasi yang strategik dan mampu menjamin pembangunan yang mampan sekali gus menawarkan kemudahan kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pemeteraian perjanjian antara LBS dengan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Datuk Razihan Adzharuddin baru-baru ini.
LBS turut memiliki projek lain di Genting Highlands seperti projek pangsapuri servis, Midhills yang dilancarkan pada tahun 2014 dan juga sebuah hotel 10 tingkat yang dikenali sebagai Scapes. -KOSMO! ONLINE