JITRA – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah meletakkan semua anggotanya dalam keadaan berjaga-jaga sebagai persediaan menghadapi kepala air dan banjir di kawasan berisiko.
Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaakob berkata, pihaknya mengkaji demografi dan profiling kawasan berisiko terutama yang mempunyai sejarah bencana itu bagi memperkemaskan operasi menyelamat dan mencari (SAR).
Katanya, pihaknya memantau 24 jam kawasan-kawasan itu berdasarkan maklumat diperoleh daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
“Maklumat tersebut antaranya berkaitan hidrografi tentang kemungkinan berlaku banjir dan kepala air.
“Sebagai contoh di Yan semalam kita dapat maklumat air naik dan kita terus hantar anggota untuk memantau,” katanya ketika hadir dalam Eksesais Mencari dan Menyelamat APM Kedah di Taman Rekreasi Bukit Wang, Jitra di sini hari ini.
Katanya, pemantauan khusus diberikan di beberapa air terjun yang menjadi tarikan ramai seperti di Lata Mengkuang Sik, Bukit Hijau, Baling, Sedim, Kulim dan Tupah, Merbok.
“Mengenai ‘hot spot’ ini, kami melihat daripada kejadian sebelumnya contoh di kawasan ini (Bukit Wang) pernah berlaku kejadian kepala air dan daripada situ, kita ambil demografi dan profiling.
“APM juga menasihatkan orang awam yang ingin berkunjung ke kawasan rekreasi supaya merujuk kepada pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah atau agensi berkaitan untuk dapatkan informasi berkaitan keadaan di tempat itu terutama yang ada sejarah kepala air,” katanya.
Menyentuh tentang eksesais itu katanya, ia juga sebagai salah satu usaha memperkemas dan menambah baik pengurusan bencana termasuk operasi SAR bagi menghadapi bencana alam seperti kepala air atau banjir.
“Hari ini melibatkan Zon Utara meliputi Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Padang Terap dan Yan dengan seramai 67 anggota dan 20 jurulatih,” – KOSMO! ONLINE