ALOR SETAR – Pihak Jawatankuasa Masjid Al-Irfan, Derga di sini, masih menutup laluan masuk ke tanah perkuburan yang menempatkan sebuah kubur yang ditemui dalam keadaan mendap dan mengandungi cecair warna merah pada 19 September lalu.
Setiausaha masjid tersebut, Yahya Saad berkata, orang ramai tidak dibenarkan untuk masuk ke kawasan tersebut tanpa kebenaran pihak masjid.
Katanya, pihak masjid hanya akan membuka tali garisan polis selepas mendapat arahan daripada pihak berkuasa tersebut kerana siasatan masih dijalankan.
“Walaupun masjid ini sudah dibuka untuk orang ramai menunaikan solat selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kota Setar berakhir pada Jumaat lalu, namun kawasan perkuburan masih ditutup,” ujarnya.
Menurut Yahya, urusan pengebumian jenazah baharu dilakukan di kawasan perkuburan di sebelah kanan masjid.
“Ini bagi mengelakkan orang ramai masuk ke kawasan perkuburan yang terletak di bahagian kiri masjid,” katanya.
Tambahnya, tiada lagi cecair ditemui pada kubur tersebut selepas kejadian.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh memberitahu, keputusan sampel tanah yang diambil dari kubur tersebut masih belum diperoleh.
“Sehingga kini pihak kami belum mendapat sebarang maklumat dan masih menunggu keputusan dari Jabatan Kimia,” katanya.-K! ONLINE
Artikel berkaitan : Penduduk gempar ‘kubur berdarah’