JAKARTA – Satu rakaman video yang memaparkan wajah seorang kanak-kanak memakai pendakap gigi menjadi kecaman netizen di Indonesia kerana tindakan tersebut dianggap tidak sesuai dilakukan ke atas budak kecil, lapor laman berita Berita Hits semalam.
Berdasarkan video yang tular di TikTok itu, kelihatan seorang kanak-kanak perempuan yang didandan dengan hiasan mekap pada wajahnya.
Mata kanak-kanak itu juga dilihat seperti menggunakan kanta sentuh, manakala bahagian bibirnya dioles dengan gincu berwarna merah jambu.
Namun, apa yang menjadi perhatian netizen adalah pendakap gigi yang dipasang pada kanak-kanak tersebut.
Perbuatan ibu bapa kanak-kanak itu dikecam kerana boleh membahayakan proses pertumbuhan gigi disebabkan struktur rahang dan gigi yang masih belum tumbuh sepenuhnya.
Klip video yang menjadi tular itu menerima pelbagai komen daripada orang ramai.
“Kenapa perlu pakaikan (pendakap) pada gigi kanak-kanak dan bukan giginya sendiri?” kata seorang netizen.
“Kawan saya pakai pendakap gigi sejak kecil sehingga menyebabkan giginya menjadi pelik. Rahangnya kelihatan aneh sedangkan keadaan asalnya elok sahaja. Sehingga sekarang dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana jika mahu perbetulkan kembali, ia akan menelan belanja berpuluh-puluh juta rupiah,” kata seorang pengguna lain. – Agensi