PESILAT negara, Mohd. Hazim Amzad bertekad mempertahankan gelaran dunia menjelang Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 yang membuka tirai di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Hazim, 23, yang muncul juara bagi kelas C pada Kejohanan Pencak Silat Dunia 2018 di Singapura yakin mampu membutirkan pingat emas sekali lagi meskipun sedar saingan lebih mencabar dan terbuka kerana pengenalan peraturan baharu.
Justeru, atlet kelahiran Pahang tersebut tekad untuk menggunakan kelebihan di laman sendiri sebagai pembakar semangat bagi memastikan kemenangan menjadi miliknya.
“Misi saya adalah untuk mempertahankan gelaran sewaktu 2018. Saya yakin ia bukan satu misi mustahil kerana saya telah melalui perjalanan itu. Jadi, saya akan beri 100 peratus di dalam gelanggang dan bawa semangat penyokong untuk menjelmakan kemenangan kedua di pentas ini.
“Saya telah melakukan persiapan cukup rapi kali ini kerana kita akan bertarung menggunakan peraturan baharu yang lebih terbuka. Jadi, cara berlawan juga berbeza dan saya bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Hazim yang meraih pingat gangsa sewaktu bersaing pada Sukan SEA Vietnam 2021 turut menegaskan, kemungkinan besar dia akan berdepan lawan yang berbeza, jadi dia perlu berhati-hati seawal pusingan pertama.
“Sudah pasti saya akan berdepan lawan berbeza kerana kejuaraan ini melibatkan penyertaan 40 buah negara. Justeru, saya akan turun dengan teknik perlawanan berbeza untuk memastikan saya mampu mara ke pentas final,” ujarnya.