YAN – Nelayan di sini mengalami kerugian selepas bot dan peralatan memukat hilang akibat dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Pengkalan Kuala Sungai Ruat di sini malam semalam.
Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu mengakibatkan tiga bot nelayan di situ hanyut dan tenggelam.
Nelayan, Bahador Awang Kecik, 70, berkata, ketika kejadian dia berada di Masjid Haji Ngak Gam berdekatan rumahnya di Kampung Ruat sini.
“Ketika itu hujan lebat menyebabkan sebahagian besar jemaah yang selesai menunaikan solat isyak tidak dapat pulang ke rumah.
“Selepas mendapat panggilan telefon daripada seorang kawan memaklumkan bot yang ditambat di pengkalan itu tenggelam saya bergegas ke pengkalan dan mendapati ramai nelayan membantu mencari bot dan peralatan yang hilang,” katanya semasa ditemui di Ruat di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa, Said Yassin, 70, berkata, dia mengalami kerugian lebih RM3,000 apabila dua gulung pukat dan banyak peralatan menangkap ikan lain hilang dibawa arus dalam kejadian itu.
Nelayan, Hashim Yakob,50, yang turut menjadi mangsa berkata, semasa kejadian dia berada di rumahnya di Kampung Ruat dekat pengkalan botnya ditambat.
“Bimbang sesuatu berlaku terhadap bot kerana arus deras saya segera ke pengkalan tetapi sebaik sampai saya dapati bot tenggelam dibawa arus,” katanya.
Tiga bot yang tenggelam itu berjaya ditemui semula kira-kira pukul 12 tengah malam semalam. – KOSMO! ONLINE