COLOMBO – Lebih 1,000 artifak berharga termasuk barangan antik yang bernilai telah dicuri dari Istana Presiden Sri Lanka dan kediaman rasmi Perdana Menteri selepas kumpulan penunjuk perasaan menyerbu kedua-dua lokasi tersebut awal bulan ini, lapor laman berita Wion News semalam.
Laman berita tempatan, Colombo Page memetik sumber polis melaporkan, beberapa pasukan penyiasat telah ditubuhkan bagi mengesan artifak-artifak tersebut.
Namun, para pegawai berdepan dengan kerumitan meskipun siasatan belum bermula.
Ini kerana Jabatan Arkeologi Sri Lanka gagal mengeluarkan rekod butiran barangan antik dan artifak di Istana Presiden meskipun ia telah digazetkan sebagai tempat kepentingan arkeologi.
Ketika bercakap kepada akhbar Sunday Lankadeepa, seorang pegawai kanan jabatan tersebut berkata, meskipun sekitar 1,000 artifak dianggarkan telah dicuri, agak sukar untuk mendapatkan maklumat jelas mengenai jumlah sebenar barangan antik.
Pada 9 Julai lalu, sebahagian besar kumpulan penunjuk perasaan menyerbu kediaman bekas presiden, Gotabaya Rajapaksa dan Presiden terkini, Ranil Wickremesinghe.
Mereka menceroboh premis-premis tersebut sebagai cara untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap salah laku pentadbiran dan hal ehwal ekonomi negara itu. – AGENSI