ISU kecederaan pemain khususnya di barisan pertahan jelas menghadirkan kebimbangan buat pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee menjelang perlawanan menentang Petaling Jaya City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.
Selepas kehilangan khidmat Jackson de Souza, aksi Piala FA menentang Selangor, Sabtu lalu menyaksikan Dominic Tan pula dihimpit masalah kecederaan dan situasi itu mungkin merencatkan perancangan pasukan.
“Ini beri tugas mencabar kepada kami untuk menentang PJ City. Memang kita perlu fikirkan tentang pengganti Jackson dan Dominic, namun saya percaya kami masih ada pemain yang perlu diberi peluang bermain.
“Kami tidak boleh terlalu memikirkan tentang kekurangan tetapi kami harus lebih positif dan beri kepercayaan kepada pemain yang bakal diturunkan nanti,” katanya.
Walaupun dipalit kecewa tersingkir daripada saingan Piala FA, Sabah yang mengharungi transformasi sepanjang musim ini cukup cemerlang di pentas Liga Super apabila menghuni tangga kedua dengan 25 mata, hanya dipisahkan empat mata berbanding Johor Darul Ta’zim (JDT).
Untuk rekod, skuad The Rhinos mencatatkan tiga kemenangan dalam enam perlawanan terakhir Liga Super, satu seri dan satu kekalahan di tangan JDT.