PETALING JAYA – Menteri Besar kedah, Datuk Sanusi Md. Nor dalam satu hantarannya hari ini menegur Ahli Parlimen Permatang Pauh yang berkongsikan keadaan satu kawasan hutan di Baling yang digondol.
Melalui hantaran Sanusi di Facebooknya, gambar-gambar yang dikongsi anak perempuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah gambar lama iaitu pada tahun 2019.
Gambar lama tahun 2019 itu secara tidak langsungnya membuka pekung pemerintah ketika itu iaitu kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum diambil alih oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Adinda Nurul, foto yang menumbuhkan kesedihan lalu Dinda kongsikan di laman Facebook itu gambar lama, Gunung Inas Baling pada tahun 2019. Kenapa baru sekarang dinda bersedih?
“Tidakkah pada tahun 2019 Dinda juga punya perasaan?” tulis Sanusi.
Dalam pada itu, Nurul Izzah turut membalas hantaran Sanusi dalam satu komennya menjelaskan dia terbuka menerima maklum balas yang diberikan Sanusi.
“Alhamdulillah MB beri respon walau kita tidak menuding jari kepada mana-mana-mana parti,” tulisnya.
Nurul Izzah turut berkongsikan sabuah lirik lagu dari kumpulan Wings berjudul Bernafas Dalam Lumpur.
“Lama mana lagi hendak ku turutkan? kata telunjuk yang menuding kepalaku, sabar apa lagi hendak ku katakan? hingga aku bernafas bagai dalam lumpur kasihan”.
Jelas Nurul Izzah, tiada beza antara anggota UMNO atau Keadilan, Pas mahupun DAP sedang kita sesak, bernafas dalam lumpur.
“Atas dasar itu saya suarakan aduan Pakcik Abdulrahman yang beliau bawa sekitar tahun yang sama. Benar kita perlu menyuarakan kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar bukannya mendahulukan pembangunan berdasar keuntungan walau sesiapapun yang memerintah.
“Tindakan untuk mengelakkan tragedi lanjutan perlu disegerakan. Kita mahu mana mana kerajaan mengambil serius kerana dalam tempoh masa begitu singkat, tidak kira siapa jua yang memerintah, kita hanya mampu melakukan sedaya mungkin bagi menjaga keselamatan rakyat.
“Tragedi banjir di Baling ini juga memberi kesan kepada bekalan air di Pulau Pinang kerana air mentah dari Sungai Muda tercemar dengan selut dan pasir sehingga menyebabkan loji rawatan tidak dapat berfungsi dengan baik. Keselamatan rakyat, tanggungjawab kita bersama,” jelas Nurul Izzah. – KOSMO! ONLINE.