Oleh YATIMIN ABDULLAH
PASUKAN The Red Warriors (TRW) terus mengorak langkah bagi memperkasakan semula pasukan itu apabila sedia terbang ke Eropah untuk berguru dengan pasukan Cardiff City FC.
Pemilik TRW, Norizam Tukiman berkata, sebagai langkah awal, barisan jurulatih akan diterbangkan untuk menimba ilmu dan melihat lebih dekat perjalanan pasukan berkenaan.
Menurutnya, perkara itu akan segera dilakukan sejurus perjalanan antarabangsa kembali beroperasi nanti.
“Usaha ini adalah hasil pertemuan penuh bermakna antara saya bersama Tan Sri Vincent Tan yang merupakan pemilik kepada Cardiff City FC.
“Alhamdulillah, hari ini saya cukup bertuah dapat bertemu beliau. Bagi saya, ia satu pembelajaran baik untuk menguruskan Kelantan FC pada masa depan.
“Beliau bukan sahaja ahli perniagaan berjaya tetapi pemain industri bola sepak terkemuka di dunia. Banyak ilmu dan input positif yang beliau kongsikan kepada saya,” kata Norizam ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Terdahulu, Norizam mengadakan pertemuan dengan tokoh korporat itu di The Taaras Beach & Spa Resorts, Terengganu semalam.
Norizam berkata, beliau sudah bersedia menyuntik nafas baharu kepada TRW untuk kembali menjadi pasukan digeruni dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).