KUALA LUMPUR – Dua kali menjalin hubungan cinta dengan lelaki lebih muda, pelakon Intan Ladyana, 38, memberitahu dia tidak serik andai bertemu jodoh dengan cinta baharunya, Harris Alif.
Pemilik nama lengkap Intan Nurladyana Mohamat Yahaya itu berkata, Harris yang muda 17 tahun daripadanya menepati ciri-ciri lelaki idaman dan layak dijadikan calon suami walaupun berusia 21 tahun.
“Dia (Harris) matang tidak seperti orang lain (sebaya dengannya). Bahkan, dia sebenarnya lebih matang walaupun usianya jauh lebih muda berbanding saya.
“Perhubungan kami masih lagi baru dan saya sedang mengenali hati budinya.
“Satu perkara yang saya suka tentang dia adalah dia sangat senang untuk berkomunikasi,” katanya yang dikenali menerusi filem Jangan Pandang Belakang.
Intan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produk baharu set penjagaan kulit, AG Nutrition yang menampilkan dirinya sebagai duta produk di sini semalam.
Menjawab desas-desus dirinya dan Harris atau nama penuhnya, Nor Harris Alif Nor Rashid akan bernikah pada Mac tahun depan, Intan menafikan perkara tersebut.
Pasangan itu dikatakan sudah lama mengenali antara satu sama lain, namun mula akrab pada awal tahun ini sebelum menjalinkan hubungan cinta beberapa bulan lalu.
“Tidak kira muda atau lebih berusia, kalau ada jodoh, ada lah,” katanya.
Sebelum ini, Intan pernah menjalin hubungan cinta dengan jurulatih kecergasan, Kevin Zahri serta pelakon, Kamal Adli.-K! ONLINE