fbpx

Salah pilih jalan, neraka menanti dalam Musyrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Musyrik - Api Neraka Menantimu! mula ditayangkan di pawagam seluruh tanah air sejak 7 Julai lalu.

PENGHASILAN filem seram bukan satu perkara yang dianggap remeh meskipun sudah ratusan genre berkenaan karya diterbitkan sejak sekian lama.

Setiap perkara perlu dititikberatkan termasuk elemen seram, pemilihan pelakon dan jalan cerita yang harus memberi impak kepada para penonton.

Itu yang ditekankan oleh penerbit filem seram Musyrik – Api Neraka Menantimu!, S. Baldev mengenai karya terbitannya yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam sejak 3 Julai lalu.

Menurutnya, naskhah arahan Arjin Uppal itu berbeza dengan filem seram yang pernah ditayangkan sebelum ini.

“Jika filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan membangkitkan martabat orang Melayu, Musyrik – Api Neraka Menantimu! pula membina kekuatan dalaman dan meningkatkan keimanan seseorang daripada memilih jalan salah kerana api neraka akan menanti.

“Walaupun saya bukan beragama Islam, saya berminat untuk mempelajari mengenai agama lain dan percaya Tuhan hanya satu.

“Malah, pasukan produksi kami juga buat kajian secara mendalam termasuk bertemu ustaz untuk memastikan setiap plot ceritanya logik dan penggunaan ayat al-Quran yang tepat.

“Semua usaha itu demi merealisasikan kunci utama filem ini iaitu tentang manusia yang menggunakan bantuan iblis dan syaitan demi membalas dendam terhadap orang lain,” katanya.

Ditanya sasaran kutipan filem, S Baldev hanya menyerahkan perkara tersebut kepada penonton.

“Setakat ini sambutan yang diberikan oleh para penonton sangat menggalakkan.

“Malah, panggung juga boleh dikatakan penuh ketika awal tayangannya tempoh hari. Teruja membaca respons positif daripada para penonton.

“Apa yang penting, saya mahu tekankan bahawa semua orang tanpa mengira agama dan bangsa boleh menonton filem ini kerana sesuai untuk tontonan seluruh masyarakat,” katanya lagi.

DARI kiri: Ashraf Muslim, Arjin, Qaseh, Aishah dan Aeril Zafrel ketika hadir tayangan perdana filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! di pusat beli-belah One Utama baru-baru ini.

Gangguan mistik

Sementara itu, menurut pengarahnya, Arjin Uppal, pelbagai kejadian aneh berlaku sepanjang penggambaran. Beberapa pelakon terlibat seperti Ruhainies dan Aishah Illias turut melalui pengalaman menyeramkan.

Antara kejadian pelik yang berlaku adalah ketika babak Ruhainies memegang batu nisan di sebuah tanah perkuburan sekitar pukul 3 pagi.

“Untuk babak tersebut, saya memang menggunakan batu nisan sebenar yang diambil dari tanah perkuburan.

“Sepatutnya hanya satu babak panjang tetapi apabila potong, kamera masih berpusing dan tidak berhenti seolah-olah ada sesuatu yang menggerakkannya.

“Bayangkan, kamera masih menyala selepas suis ditutup. Kamera tersebut hanya berhenti berpusing selepas bateri dikeluarkan, sangat pelik dan agak menyeramkan kejadian tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, pelakon utama filem berkenaan, Aeril Zafrel memberitahu wataknya sebagai Aril merupakan antara karakter yang paling ‘stres’ yang pernah dilakonkan sepanjang bergelar pelakon.

Lakonan ‘stres’

“Sebenarnya penggambaran dilakukan sekitar tahun 2018 dan sudah agak lama. Saya sendiri agak lupa juga tentang jalan ceritanya.

“Namun apa yang boleh saya kongsi ialah watak dalam filem ini merupakan antara yang paling ‘tense’ berbanding karakter lain pernah dipegang.

“Mana tidaknya, watak Aril ini memang pemarah daripada awal hingga hujung cerita, penat jugalah,” ujarnya.

Bercerita lanjut, watak ‘tense’ membuatkan pemikirannya lebih teratur terutama ketika dalam tempoh tertekan.

“Bila lakonkan watak begini, keadaan sekeliling jadi sangat pantas. Jadi pemikiran pun perlu laju mengatur apa yang perlu dilakukan dalam babak seterusnya.

“Berbeza dengan cerita romantik yang lebih rileks. Watak berat begini memerlukan juga saya berbincang dengan pengarah, apa yang harus dilakukan atau sebaliknya,” jelasnya.

Sama seperti orang lain, Aeril turut berharap naskhah tersebut mendapat tempat di hati peminat filem tanah air, sekali gus mampu membawa kutipan yang tinggi.

Selain Ruhainies dan Aeril, filem terbitan White Merpati Entertainment Sdn. Bhd. turut menampilkan barisan pelakon popular lain seperti Ashraf Muslim dan Aishah Illia selaku teraju utamanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI