PASIR GUDANG – Kegiatan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi yang cuba mengaut keuntungan dengan memproses dan membotolkan semula bahan itu terbongkar setelah sebuah stor kedai di Endau, Mersing diserbu, Rabu lalu.
Dalam serbuan pada pukul 7.15 pagi itu, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai pemandu lori di kawasan premis tersebut.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, premis tersebut dijadikan stor penyimpanan dan membotolkan semula minyak masak ke dalam botol pelbagai jenis dan dijual bermula RM11.
Beliau berkata, hasil risikan yang dijalankan, pihaknya telah melakukan serbuan dan merampas 4,012 bungkus minyak masak bersubsidi bernilai RM10,030.
“Polis masih menyiasat bagaimana bekalan minyak masak diperolehi. Minyak masak bersubsidi ini dibotolkan semula untuk dijual semula pada harga yang lebih tinggi.
“Minyak masak ini sepatutnya diedarkan ke kedai-kedai bagi memenuhi keperluan pembeli khususnya golongan B40. Tindakan ini adalah satu pengkhianatan kepada negara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE