KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan penelitian akan dilaksanakan bagi menaikkan peruntukan kos menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang rendah sebelum diusulkan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dibawa ke Bajet 2023.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, penelitian itu perlu dilaksanakan dari pelbagai aspek susulan kenaikan harga barangan di negara ini.
“Perkara ini sedang dibincangkan secara lisan bersama MOF bagi mengambil kira semua aspek sebelum dicadangkan serta dipertimbangkan di dalam Bajet 2023.
“KPM sebelum ini telah melaksanakan pelbagai penambahbaikan berhubung RMT, namun kita sedar cabaran di luar sana tentang kenaikan kos harga barangan dan perkara ini akan dibincangkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Eksplorasi Alam Lestari di Zoo Negara, di sini hari ini.
Menurut Radzi, pihaknya sedang menyediakan kertas kerja di peringkat akhir bagi penambahbaikan RMT.
“Sekarang kita sedang sediakan kertas kerja untuk tujuan penambahbaikan di peringkat akhir. Apa paling penting, kita semua kena sedar yang KPM memberi perhatian berhubung isu terbabit.
“Perkara ini kita sedang dipertimbangkan dengan MOF dalam konteks Belanjawan 2023 dan kita akan berbincang bagi menyiapkan kertas kerja untuk dibawa ke Kabinet yang memerlukan sedikit masa kerana membabitkan implikasi besar,” ujarnya.
Terdahulu, akhbar melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan kadar RMT bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung dan RM5 di Sabah, Sarawak serta Labuan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, peruntukan KPM sedia ada iaitu RM2.50 bagi murid di Semenanjung dan RM3 di Sabah, Sarawak serta Labuan adalah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kos bahan mentah mengikut menu RMT. – KOSMO! ONLINE