fbpx

Tiada syarikat gagal bayar gaji minimum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyatakan setakat ini tiada syarikat yang gagal membayar gaji minimum sebanyak RM1,500 sejak dikuatkuasakan pada 1 Mei lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, sehingga 30 Jun lepas, masih belum ada majikan yang didakwa kerana gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022.

“Ini kerana, gaji bulan Mei 2022 hanya mula diterima oleh pekerja pada awal bulan Jun 2022.

“Statistik majikan yang telah mematuhi dan tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 masih tidak dapat disediakan berikutan kuat kuasanya perintah tersebut pada 1 Mei 2022 dan pematuhan hanya dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan berkanun,” katanya katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) berhubung jumlah majikan yang didakwa tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 yang berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022.

Jelasnya, bagi memastikan semua pekerja di Malaysia mendapat manfaat daripada Perintah Gaji Minimum 2022, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sentiasa menjalankan pemeriksaan berkanun atau pemeriksaan mengejut ke atas majikan.

“Sehingga 30 Jun 2022 sebanyak 20,452 majikan telah diperiksa dan bagi bulan Jun 2022 sahaja sebanyak 3,049 tempat pekerjaan telah diperiksa di seluruh negara,” ujarnya.

Katanya, pada bulan Jun 2022, JTKSM telah menerima sebanyak 157 aduan berkaitan dengan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022.

“Hasil siasatan mendapati 118 majikan tidak mematuhi perintah tersebut. Walaubagaimanapun, nasihat telah diberikan kepada majikan untuk mematuhinya dan sekiranya gagal, tindakan perundangan akan diambil ke atas mereka,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI