fbpx

Suri rumah bersama rakan didakwa bunuh suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Margaret Law dan seorang rakannya, Fam Mee Fatt, didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini kerana membunuh suaminya di Taman Daya, pada 14 Julai lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah beserta rakan lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membunuh seorang lelaki di Jalan Nipah, Taman Daya, 14 Julai lalu.

Tertuduh, Margaret Law, 36, dan Fam Mee Fatt, 53, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan dibawah pentadbiran Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah membunuh suami Margaret, Lee Ming How, 44, pada pukul 2 petang, di Blok 11, Jalan Nipah, Taman Daya di sini.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 27 September untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat manakala tiada sebarang jaminan dibenarkan kepada kedua-dua tertuduh.

Dalam prosiding sama, Margaret dan juga Mee Fatt turut didakwa secara berasingan telah bertindak memasukkan dadah berbahaya ke dalam tubuh badan.

Atas kesalahan itu, mereka mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Nurmadiana turut menjatuhkan hukuman denda RM1,700 jika gagal bayar enam bulan penjara ke atas setiap tertuduh sebelum turut memerintahkan mereka menjalani pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad dan Nur Aqiilah Ahmad Rafaei, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI