KUALA LUMPUR – Kerajaan menyatakan penggunaan gelaran profesional seperti doktor untuk pengesyoran kosmetik adalah tidak dibenarkan bagi melariskan produk.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, penggunaan gelaran profesional seperti doktor adalah dilarang merujuk kepada Guideline for Cosmetic Advertisement yang dikeluarkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Ini kerana ia secara tidak langsung memberi tanggapan bahawa individu tersebut telah memberi nasihat profesional dan pengesahan kepada kosmetik terlibat.
“Tindakan regulatori seperti amaran iklan dan pembatalan notifikasi kosmetik akan diambil sekiranya kosmetik didapati diiklankan dengan tuntutan perubatan atau tuntutan yang melampaui skop takrifan kosmetik seperti yang ditetapkan dalam Guideline for Cosmetic Advertisement,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Sabri Azit (PAS-Jerai) berhubung tindakan pemantauan bagi menangani doktor media sosial yang berleluasa melariskan jualan kosmetik hingga menyebabkan kesan sampingan kepada para pengguna.
Jelasnya, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menjalankan pemeriksaan dan operasi serbuan secara berterusan ke atas premis-premis atau penjual termasuk di media sosial bagi mengekang penjualan kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM.
“Syarikat atau individu yang didapati memiliki atau menjual kosmetik tidak bernotifikasi akan disiasat dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Jualan Dadah 1952,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE