IPOH – Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 20.7 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM2.06 juta dalam serbuan berasingan di sini Khamis lalu.
Lelaki berusia 34 tahun dan isteri warga Vietnam berusia 38 tahun dipercayai pengedar dadah itu di tahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak pada pukul 4.40 petang.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek lelaki ditahan di kawasan tempat letak kereta di Jalan Raja Musa Mahadi di mana pemeriksaan dalam keretanya menjumpai 10 bungkusan plastik hijau bertulis ‘Guanyingwang’ berisi dadah disyaki jenis methamphetamine dengan anggaran berat 10.3kg.
Katanya, susulan tangkapan tersebut, pihak polis kemudiannya menahan isteri suspek di tepi jalan di sekitar Panorama Lapangan Perdana.
“Pemeriksaan lanjut dilakukan dalam sebuah kereta yang diletakkan di sebuah pangsapuri di sekitar Ipoh dan menemui 10 bungkusan plastik hijau berisi dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 10.3kg.
“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah 20.7kg yang dianggarkan berharga RM2.07 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua mereka mendapati hanya suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, pasangan suami isteri itu bagaimanapun tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. – KOSMO! ONLINE