BEIJING – Seorang wanita di China mencetuskan perdebatan nasional mengenai perkahwinan awal apabila mengumumkan di media sosial bahawa dia sudah bergelar nenek walaupun usianya baru 36 tahun, lapor laman Wionews, semalam.
Wanita bernama Zhang itu berkongsi video tersebut menerusi aplikasi TikTok pada 13 Julai lalu semasa mengumumkan kelahiran cucunya.
“Saya secara rasminya bergelar nenek. Saya dilahirkan pada tahun 1980-an dan kini mempunyai seorang cucu.
“Saya sepatutnya mendodoikan anak lelaki saya yang berusia tujuh tahun sekarang tetapi saya sebaliknya sibuk menjaga cucu yang baru lahir,” katanya.
Klip video itu menjadi tular dan mendapat lebih 240 juta tontonan di Weibo iaitu platform media sosial mirip Twitter China.
Ia juga mencetuskan perdebatan hangat di China mengenai sama ada berkahwin dan mempunyai anak pada usia muda perlu digalakkan.
Selepas videonya menjadi tular, Zhang membuat kenyataan bahawa gelaran nenek di usia belum mencecah 40 tahun bukanlah sesuatu yang dibanggakan.
“Ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.
“Saya berhenti sekolah dan meninggalkan rumah pada usia muda untuk bekerja di bandar besar dan saya berkahwin pada usia 19 tahun.
“Saya merancang untuk menghantar anak saya untuk mendapatkan pendidikan yang baik tetapi dia tidak mengendahkan nasihat kami dan memilih jalan sendiri dalam hidup,” ujarnya.
Zhang bagaimanapun berkata, bukan dia seorang sahaja di kampung halamannya, Nanyang, yang mempunyai cucu pada usia seawal itu.
“Orang yang berhenti sekolah awal biasanya berkahwin muda dan mempunyai cucu tetapi mereka mungkin tidak menyiarkan video untuk menceritakan kisah mereka,” kata Zhang.
Pada masa ini, umur minimum untuk berkahwin di China adalah 22 tahun untuk lelaki dan 20 tahun untuk wanita. – Agensi