fbpx

Lima maut: Tidak tahu anak pergi Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah lima sekeluarga selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Haji Abdul Rashid , Sungai Dua di sini petang tadi. /FOTO IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – “Selalunya dia ‘habaq’ (beritahu) kalau nak ‘pi’ (pergi) mana-mana, tapi kali ni tak”.

Demikian menurut Mariam Mat, 82, ibu kepada Mohd. Rodhi Othman,64, yang maut dalam nahas berhampiran Hentian Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli petang kelmarin.

Kata Mariam, pemergian anak sulung daripada lapan beradik itu amat mengejutkan kerana sudah menjadi kebiasaan arwah pasti memberitahunya sekiranya mahu ke mana-mana.

“Kali terakhir bertemu arwah adalah beberapa hari lepas ketika dia menghantar ubat darah tinggi ke rumah saya di Bagan Jermal.

“Saya beritahu dekat dia boleh saja hantar hari Ahad (hari ini) kerana masa itu arwah sedang selesema tetapi dia kata dia risau, takut ubat saya habis.

“Bila cucu (anak mangsa) maklumkan yang arwah sekeluarga ditimpa kemalangan, saya memang terkejut kerana arwah sepatah pun tak beritahu yang dia ke Kelantan bersama keluarganya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Jamek Haji Abdul Rashid di sini hari ini.

Mariam walau bagaimanapun berkata, dia reda dengan ketentuan Allah SWT kerana sudah sampai ajal.

Terdahulu, jenazah lima sekeluarga yang maut dalam nahas berhampiran Hentian Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli petang semalam selamat dikebumikan di Masjid Jamek Haji Abdul Rashid kira-kira pukul 2.50 petang tadi.

Turut maut dalam nahas ialah isteri Mohd. Rodhi, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, anak, Siti Aishah Mohd. Rodhi,32, menantu, Ahmad Khomaini Abu, 32 dan cucu mereka, Zara Hana Ahmad Khomaini,6, selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki bertembung dengan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux.

Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu 4WD yang memandu dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan yang hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI