fbpx

Wei Chong-Kai Wun malukan pemenang pingat emas Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GANDINGAN Wei Chong (kanan) dan Kai Wun berjaya menjuarai Terbuka Taiwan selepas mengejutkan jaguh tuan rumah pada aksi final sebentar tadi. - BADMINTON PHOTO

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun melakar kejutan terbesar pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan apabila muncul juara menewaskan wakil tuan rumah yang juga gandingan No.4 dunia, Lee Yang-Wang Chi Lin.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Gimnasium Bola Keranjang Heping Taiwan sebentar tadi, Wei Chong-Kai Wun memerlukan masa hampir sejam sebelum menang menerusi aksi tiga set 21-18, 11-21, 21-18.

Turun sebagai pasukan bukan pilihan nyata tidak melemahkan semangat pemain negara apabila berjaya menampilkan aksi cukup yakin bagi mendominasi set pertama sebelum memastikan kemenangan 21-18.

Lee Yang-Chi Lin yang tersentak dengan kekalahan set pertama kemudiannya memperkemaskan permainan pada set berikutnya dan berjaya meletakkan Wei Chong-Kai Wun dalam keadaan tertekan.

Diiringi sokongan padu penyokong sendiri nyata membangkitkan semangat pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu bagi memenangi set kedua 21-11, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Memasuki set ketiga, kedua-dua pasukan menampilkan aksi agak seimbang apabila sering bertukar servis selain kedudukan mata yang tidak jauh berbeza sebelum Yang-Chi Lin mula mengorak langkah pada pertengahan permainan.

Bagaimanapun, kekuatan mental nyata menjadi kelebihan buat Wei Chong-Kai Wun apabila mengejar dan menyamakan kedudukan 18-18 sebelum mengutip tiga mata berturut-turut bagi memastikan kejuaraan menjadi milik Malaysia.

Sebagai rekod, gelaran tersebut merupakan kejuaraan kedua buat beregu No.36 dunia itu pada musim ini selepas turut memenangi kejohanan antarabangsa India di Lucknow Januari lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI