fbpx

Russia bedil pelabuhan Odesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Video orang awam menunjukkan keadaan ketika serangan berlaku di kemudahan eksport gandum di pelabuhan Odesa, kelmarin. – ABC/Rakaman saksi

ODESA, UKRAINE – Tentera Russia didakwa melancarkan serangan peluru berpandu menyasarkan  pelabuhan Odesa, sehari selepas Moscow dan Kiev mencapai persetujuan untuk menyambung semula eksport gandum dari Ukraine, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Jurucakap pentadbiran tentera Odesa, Serhii Bratchuk berkata, dua peluru berpandu mengenai infrastruktur pelabuhan tersebut, manakala dua lagi  dimusnahkan oleh tentera udara Ukraine.

Tambah beliau, serangan kelmarin mengenai sebuah stesen pengepam di pelabuhan Odessa.

“Hari ini (kelmarin), empat peluru berpandu dilancarkan ke arah Odesa. Syukur, kerana unit pertahanan udara kami dapat memusnahkan dua misil tersebut.

“Dua lagi peluru berpandu bagaimanapun mengenai sasaran dan memusnahkan infrastruktur di pelabuhan. Ia adalah stesen pengepam  di pelabuhan Odesa,” katanya kepada media tempatan.

Tambah Bratchuk, tiada kematian direkodkan dan stok gandum yang disimpan tidak musnah dalam serangan tersebut. 

“Serangan misil itu dilancarkan dari sebuah kapal perang,” ujarnya.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas menteri kedua-dua negara memeterai perjanjian berkenaan yang ditaja oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Turki di Istanbul.

Ia bertujuan membolehkan gandum dari pelabuhan-pelabuhan di  Laut Hitam dieksport ke seluruh dunia dalam meredakan krisis makanan global yang tercetus akibat perang  tersebut. 

Russia menerusi perjanjian yang dimeterai Jumaat lalu itu turut bersetuju untuk tidak menyerang pelabuhan di Ukraine ketika aktiviti penghantaran bijirin sedang dilaksanakan, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).

Sementara itu, Menteri Pertahanan Turki, Hulusi Akar berkata, pegawai-pegawai Russia bagaimanapun menafikan pihak mereka melancarkan serangan itu.

“Pihak Russia memberitahu bahawa mereka tidak terlibat dalam serangan tersebut dan sedang menyiasat isu itu secara terperinci,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Hubungan Luar Kesatuan Eropah, Josep Borrell mengutuk serangan itu dan menyatakan bahawa ia membuktikan sikap Russia yang langsung tidak menghiraukan undang-undang antarabangsa. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI